Wednesday, 30 November 2011

~ASSIGNMENT SOLAT JAMAK UNTUK PESAKIT~







PENDAHULUAN
Solat adalah satu rukun Islam yang kelima yang telah diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah untuk disampaikn kepada seluruh umat Islam. Solat adalah ibadah yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam.Suatu kewajipan pada setiap individu yang telah mencapai usia baligh.Solat yang difardukan ke atas umat Islam adalah lima waktu sehari semalam. Soat telah disyari’atkan pada malam Isra’ setahun sebelum Hijrah. Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’:


Maksudnya; Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya

Maksudnya; Maka dirikanlah solat kerana tuhanmu dan berkorbanlah (Surah Al Kauthar;2)
Hadis Talhah bin Ubaidillah r.a katanya:
Seorang penduduk Najd telah datang menghadap Rasulullah s.a.w dengan keadaan rambutnya yang kusut. Kami mendengar nada suaranya tetapi tidak memahami kata-katanya. Setelah hampir kepada Rasulullah s.a.w dia terus bertanya mengenai Islam. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Ia adalah sembahyang lima waktu sehari semalam. Lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah sembahyang lain yang diwajibkan kepada ku? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu sembahyang sunat. Seterusnya kamu hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan. Lalu lelaki tersebut bertanya lagi: Masih adakah puasa lain yang diwajibkan kepada ku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin melakukannya secara sukarela iaitu puasa sunat. Rasulullah s.a.w meneruskan sabdanya: Keluarkanlah zakat. Kemudian lelaki tersebut bertanya: Adakah terdapat zakat lain yang diwajibkan kepadaku? Baginda menjawab dengan bersabda: Tidak, kecuali jika engkau ingin mengeluarkannya secara sukarela iaitu sedekah. Kemudian lelaki itu beredar sambil berkata: Demi Allah, aku tidak akan menambah dan menguranginya. Rasulullah s.a.w bersabda: Dia amat beruntung sekiranya membenarkan iaitu menepati apa yang telah diucapkannya (Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 12 )

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia 7 tahun dan pukullah mereka (bila tidak mahu) pada usia 10 tahun dan pisahkan mereka ditempat-tempat tidur" (HR. Ahmad dan Abu Dawud). Dari hadis di atas dapat kita mengambil pelajaran bahawa solat itu merupakan tiang agama yang wajib dikerjakan bagi kaum muslim. Jika anak berusia 10 tahun tidak mahu mengerjakan solat di suruh pukul sudah tentu bagi yang sudah baligh berat lagi hukumannya.  Dalam sebuah hadis ada disebutkan, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Riwayat Muslim)

Justeru, kita sebagai hamba Allah yang menganut agama Islam perlulah melaksanakan kewajipan dengan sebaik mungkin walaupun dalam keadaan kita bermusafir, sakit atau sebarang keadaan yang tidak menghalang kita untuk menunaikan rukun Islam ini. Sesungguhnya Islam ini sempurna dan Allah telah menyediakan kemudahan pada hambaNya untuk melaksanakan kewajipan mereka. Contohnya, seperti dalam solat Allah telah menetapkan rukhsah iaitu kemudahan dalam melaksanakan solat dengan syarat-syarat tertentu.
Kami akan membincangkan dengan lebih terperinci tentang solat jama’ untuk pesakit bersama dalil-dalil yang sahih yang boleh dijadikan hujah.

LATAR BELAKANG MASALAH
Isu ini timbul ekoran daripada pertanyaan orang ramai kepada JAKIM mengenai hukum sembahyang jamak kerana menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang, rawatan penyakit jantung, lumpuh dan seumpamanya yang telah mendapat pengesahan daripada doktor- doktor pakar daripada hospital-hospital kerajaan ataupun swasta.
Penggunaan alat-alat semasa dan sesudah rawatan homodialisis adalah seperti berikut:-
(i) Semasa Rawatan
Setiap pesakit dikehendaki menjalani pemeriksaan tekanan darah sebelum, semasa dan sesudah rawatan sekurang- kurangnya 5 kali menggunakan alat khas tekanan darah tinggi. Kemudian ditimbang berat badan satu (1) kali sebelum dan satu (1) kali selepas rawatan untuk mengetahui berat sebenar. Bagi timbangan berat sebelum rawatan untuk mengetahui kedudukan berat air yang ada di dalam badan dan timbangan kedua selepas rawatan untuk mengetahui berapakah sudah dikurangkan air dalam badan.
Semua bacaan untuk timbangan berat ini dicatat dalam buku rekod peribadi. Kemudian jururawat akan membuat suntikan di dua tempat di lengan - satu untuk pengeluaran darah dan satu untuk memasukkan semula darah. Setelah suntikan dibuat, jarum itu tetap berada di lengan pesakit dari awal hingga ke akhir masa rawatan sekurang-kurangnya 4 jam atau paling lama 5 jam. Aliran darah keluar melalui bawah lengan suntikan bahagian bawah memasuki tiub yang digunakan untuk masuk ke dalam satu tabung penapis sebagai ganti fungsi buah pinggang - untuk menapis segala darah kotor dan lebihan air yang berada dalam darah menggunakan mesin khas. Kemudian darah yang bersih disalurkan semula ke lengan bahagian atas melalui jarum yang tersedia.

(ii) Selepas Rawatan
Setelah cukup masa rawatan sekurang-kurangnya 4 jam tadi, jururawat akan membuka tampalan serta jarum berkenaan dan diletakkan tampalan lain dengan menggunakan sejenis kain yang dikeraskan di bahagian liang suntikan supaya menghalang darah keluar kerana ketika itu jika tidak dibuat demikian, darah akan terpancut dengan kuat (dalam tempoh 1 jam). Liang suntikan hanya boleh dibuka dalam tempoh lebih 40 - 60 minit kerana di waktu itulah bagi pesakit tertentu liang suntikan itu telah tertutup oleh darah yang beku, tetapi bagi sesetengah pesakit pula lebih daripada 1 jam, ini bergantung kepada kecairan atau kepekatan darah seseorang.
Oleh hal yang demikian, bolehkah orang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya menunaikan sembahyang Zohor dengan Asar - Jamak Takhir disebabkan oleh rawatan berkenaan?
(i) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan pertama iaitu jam 6.00 pagi - 12.00 tengahari, dalam tempoh rawatan ini tidak menimbulkan masalah dari segi waktu sembahyang fardhu kerana rawatan itu telah selesai sebelum waktu Zohor.
(ii) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan kedua iaitu jam 11.00 pagi - 6.00 petang, menimbulkan implikasi hukum mengenai sembahyang. Ini menyebabkan waktu sembahyang Zohor luput. Sementara itu sekiranya pesakit mengambil wuduk sebelum rawatan dibuat, ia boleh membatalkan wuduk disebabkan persentuhan dengan jururawat wanita bagi pesakit lelaki atau disebabkan keluar angin daripada dubur.
(iii) Bagi mereka yang mengambil syif rawatan ketiga iaitu jam 3.00 petang - 9.00 malam, menimbulkan masalah kerana melibatkan sembahyang Asar dan Maghrib. Apakah boleh bagi pesakit berkenaan sembahyang Jamak Takdim - Sembahyang Zohor dan Asar dan Jamak Takhir - Sembahyang Maghrib dan Isyak?



PANDANGAN JUMHUR ULAMA’
  1. Mengikut pendapat Mazhab Syafie, harus jamak sembahyang kerana musafir yang lama perjalanannya dengan sebab hujan secara jamak takdim sahaja, apabila dilakukan sembahyang itu secara berjemaah di masjid yang jauh daripada rumahnya, mengelakkan kesusahan untuk pergi ke sana, maka ia harus menjamakkan sembahyang walaupun tidak kerana hujan dan harus jamak sembahyang sama ada takdim atau takhir bagi orang yang sakit.

  1. Menurut pendapat Mazhab Maliki, harus jamak sembahyang ketika bermusafir jauh atau dekat. Begitu juga bagi orang yang sakit yang pitam atau sakit di kepala yang boleh menghalangnya daripada menunaikan sembahyang ketika masuk waktu kedua, maka harus baginya mentakdimkan sembahyang tersebut. Begitulah juga harus jamak sernbahyang kerana hujan lebat, ribut pasir, kegelapan malam, maka harus dijamak secara takdim sembahyang maghrib dan isyak dengan syarat sembahyang tersebut dilakukan di masjid secara berjamaah.

  1. Mengikut Mazhab Hambali, harus bagi orang yang sakit menjarakkan sembahyang ketika timbulnya kesusahan mendirikan sembahyang apabila masuknya waktu. Harus juga menjamakkan sembahyang bagi orang yang lemah daripada mengetahui awal waktu sembahyang bagi orang yang buta dan begitu juga bagi orang yang takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya, harta atau maruahnya atau takut kemudaratan yang bersangkutan dengan kehidupannya dengan meninggalkan sembahyang dan yang lebih utamanya ialah memilih yang paling mudah ke atasnya sama ada untuk jamak takdim atau takhir dengan mematuhi syarat-syarat takdim dan takhir seperti tertib, niat jamak dan berterusan uzur.

  1. Sementara Mazhab Hanafi pula tidak harus jamak sembahyang secara takdim kecuali bagi orang yang mengerjakan haji di Arafah dengan syarat berjamaah berserta Imam atau naibnya dan tidak harus mentahlulkan sembahyang kecuali di Muzdalifah bagi orang yang mengerjakan haji, maka ia boleh sembahyang Asar dalam waktu Zohor di Arafah dan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak di Muzdalifah.


Berikut disertakan sekali dalil Hadis mengenai perkara ini. Dalil mengenai solat dilakukan secara Qasar dan Jama' adalah ijtihad ulama'. Jumhur mengatakan boleh melakukan Jama' dan Qasar. Mereka ini merupakan ulama'-ulama' yang layak mentafsirkan hadis Nabi saw dalam bentuk amalan Fiqh. Ini merupakan dalil yang kuat untuk dijadikan sandaran. Kesilapan kita dalam mempelajari hadis ialah mengamalkannya secara langsung (harfiyah) TANPA mengetahui bagaimana Imam-Imam ini melakukan pengambilan hukum dari hadith tersebut.
  1. Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu menerangkan:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamak sembahyang Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”
Ada pihak yang menggunakan hadis ini untuk membolehkan menjamak sembahyang secara sesuka hati tanpa ada kesulitan. Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan: Hadis ini tidaklah seperti apa yang disangka oleh banyak para penuntut ilmu bahawa sembahyang (jamak) itu boleh dilakukan bila-bila sahaja. Kedua-dua hadis di atas sudah memadai untuk membatalkan pendapat mereka yang hanya menghadkan sembahyang hanya boleh dijamakkan ketika dalam perjalanan kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamak sembahyangnya ketika baginda berada di Madinah iaitu dalam keadaan bermukim. Malah hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu'anhu ini dijadikan  hujjah oleh  ulama’ untuk membolehkan sembahyang itu dijamak asalkan terdapat keperluan yang mendesak dan valid demi untuk menghindari kesulitan yang dihadapi itu.  Malah kata-kata Ibnu ‘Abbas  “bukan kerana dalam ketakutan atau hujan” secara tidak langsung menunjukkan bolehnya menjamak sembahyang jika kita berada dalam kedua-dua situasi tersebut.
  1. Syaikh Abu Ubaidah Masyhur pula berkata selain dari dalam ketakutan ataupun hujan yang lebat: Diperbolehkan menjamak sembahyang ketika tanah dalam keadaan berlumpur, udara yang dingin, turun salju, sakit, angin kencang bahkan kerana adanya uzur atau kepentingan lain.
  2. Ibnu Taymiyyah berkata: “Mazhab Fiqh yang paling longgar dalam masalah menjamak sembahyang adalah mazhab al-Imam Ahmad. Sebab beliau telah membolehkan menjamakantara dua sembahyang hanya disebabkan adanya keperluan ataupun ketika sedang sibuk.
  3. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata: Dalam  Syarah Muslim, Imam al-Nawawi  rahimahullah berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila ia ada suatu kepentingan, asal sahaja hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, dan menurut alKhaththabi juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta inilah pula yang dipilih oleh Ibnul Mundzir.
  4. Pandangan Syeikh Ibn Taimiyah rh:
    "Mengenai solat Jama' dimana baginda melakukan solat jama' pada beberapa waktu ketika sibuk berjalan, dan uzur syarie. Sebagaimana beliau menjama'kan solat di Arafah dan Muzdalifah. Beliau juga ada kalanya menjama' solat pada perang Tabuk, apabila beliau keluar bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan solat sehingga waktu Asar lalu melakukan kedua-dua solat. Inilah sandaran yang sahih". [Majmu' Fataawa, 27/24].
  5. Terjemahan petikan dari sebuah kitab mazhab Hanbali al-Raudhul Murbi':
    [Dan diharuskan jamak antara yang tersebut itu kerana sakit yang akan ditimpa kesusahan jika ia meninggalkan jamak. Kerana Nabi s.a.w. pernah melakukan jamak ketika tidak dalam keadaan ketakutan dan tidak ketika hujan Dan di dalam satu riwayat lain "tidak dalam keadaan ketakutan dan tidak dalam permusafiran". Ia diriwayatkan oelh Muslim dari Hadis Ibnu Abbas, tidak berkeuzuran selepas yang demikian itu kecuali sakit. Dan sesungguhnya telah sabit keharusan melakukan jamak bagi perempuan yang istihadhah, iaitu sejenis penyakit, dan harus juga bagi perempuan yang menysuskan kerana kepayahan yang dihadapi akibat najis anak. Dan seumpama perempuan yang istihadhah ialah mereka yang lemah dari bersuci atau bertayammun setiap kali mahu bersolat. Atau lemah dari mengetahui waktu seperti kerana buta dan seumpanya. Atau kerana sibuk yang mengharuskannya meninggalkan sembahyang Jumaat dan jamaah.] (Al-Raudhul Murbi', hal. 111)

  1. Terjemahan petikan dari kitab Bidayatul Mujtahid tulisan Ibnu Rusyd:
    [Dan adapun jamak ketika hadir (tidak bermusafir) serta tidak uzur, maka sesungguhnya Malik dan kebanyakan ulamak tidak mengharuskannya. Dan telah mengharuskan yang demikian itu satu jamaah dari golongan al-Zahiri dan Asyhab dari kalangan sahabat Malik.] (Bidayatul Mujtahid, Ibnu Rusyd, vol. 1, hal. 125)





PANDANGAN PERIBADI
Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa:

a) Tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari.

b) Hajat hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kehilangannya kebaikan yang lebih besar.

c) Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain – mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.

Kesimpulannya, pada pendapat kami sebagai insan biasa, solat merupakan satu kewajipan yang tidak langsung kami nafikan bersandarkan dalil-dalil Al Quran.
Bagi kami sebagai bakal-bakal doktor, masalah solat jama’ bagi pesakit akan menjadi isu utama bagi kami. Jadi, bersandarkan dalil-dalil nas Al Quran, As Sunnah, Ijma’ Ulama’dan Qias, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk solat jama’ bagi pesakit dan ia adalah harus. Namun, terdapat beberapa garis panduan seperti yang di catatkan diatas yang harus di ikuti bukan hanya melakukan solat jama’ dengan sewenang-wenangnya.
Hadis Rasulullah s.a.w :
1] Solat itu tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya, dia akan menegakkan agamanya. Sesiapa yang meninggalkannya, dia akan meruntuhkan agamanya. ( Riwayat Baihaqi )
2] Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya bila berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah mereka di tempat tidur. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al - Hakim)





KESIMPULAN
Telah jelas bagi kita bahawa sembahyang jamak bukan hanya disyari’atkan ketika dalam musafir. Sekiranya memang ada keperluan yang begitu mendesak maka dibenarkan untuk menjamakkan sembahyang dibolehkan untuk menjamak solat. Hanya apa yang ingin ditekankan jangan kita terlalu bermudah-mudah dalam isu sembahyang jamak ini sehingga menjadi kebiasaan untuk manjamakkan sembahyang tanpa sebab atau kesulitan yang dihadapi seperti diamalkan golongan  syi’ah. Ini adalah kerana hukum asal sembahyang itu adalah mengikut waktu yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

1 comments:

Nurul Fatiha said...

mohon izin utk share kata2 hikmah...utk peringatan bg diri dan yg lainnya..insya ALLAH...;-)